Bersabarlah!
Kadang-kadang terfikir sejenak, mengapa perubahan itu sangat sukar dikekalkan? Kenapa hanya bertahan sekejap cuma. Pelbagai cubaan telah dilakukan, setia mengharapkan panas sampai ke petang, rupanya hajat tidak kesampaian kerana hujan di tengah hari. Perubahan memerlukan banyak pengorbanan. Pengorbanan yang perlu datang dari hati yang ikhlas. Ianya perlu seiring dan sejalan dengan SABAR.
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang kusyuk." (Al-Baqarah, ayat 45.)
Sabar dan tawakkal adalah usaha kita yang terakhir setelah pelbagai ikhtiar dan usaha kita telah lakukan. Namun, sedang kita berusaha dan ikhtiar, ada dugaan dan cabaran yang kerap kali membuatkan kita cepat melatah. Makna sabar kadang-kadang tidak dihadam dengan baik, maka lahirlah sifat bertindak melulu dan menyerang tanpa memakai helmet. Eh. Fitrah manusia sentiasa melakukan kesilapan dan kesalahan sama ada kita menyedarinya ataupun tidak. Setelah beberapa ketika, penyesalan demi penyesalan datang di hati. Luluh dan kecewa menghantui diri dek kesilapan sendiri.
Tapi percayalah, Allah itu sentiasa ada dengan kita, menunggu kita berbicara denganNya, memohon perlindungan dan bantuan dariNya. Sesungguhnya Dialah sebaik-baik pelindung. Bawalah hati dekat dengan Pencipta, InshaAllah hati kan tenang sentiasa. Itu janjiNya. Kita harus percaya dan yakin, apa yang berlaku ada hikmahnya. Janji diri sendiri sentiasa positif untuk berubah menjadi terbaik dari hari ke hari.
Perubahan memerlukan pengorbanan. Biarlah sekarang kita menghirup rasa pahit itu, biar nantinya kita bisa melanggah seribu rasa kemanisan apabila hasilnya adalah kejayaan iaitu perubahan. Ya. Perubahan ke arah yang lebih baik. Baik dari segala segi. Baik fizikal, rohani dan jasmani. InshaAllah.
Jadikan keterpaksaan melakukan kebaikan itu satu peluang untuk kita berubah ke arah yang positif. Terpaksa lakukan, kita lakukan. Tidak mengapa. InshaAllah.. Dengan izin Allah, lama kelamaan hati terbiasa dengan kebaikan yang semakin hari semakin sebati dalam diri. Itu impian kita. Mahu berubah jadi baik. Semoga Allah redha.
Bersabarlah. Bersabarlah. Bersabarlah. Pasti ada hikmah atas apa yang berlaku.
Ps : Yang baik itu datangnya dari Allah. Yang buruk itu datangnya dari diri sendiri. Tegurlah aku dan ajarilah aku andai ada salah dan silap. Entry ini adalah untuk ingatan diri sendiri yang sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan yang kadang-kala terbit rasa putus asa dek kelalaian diri sendiri. Entry ini untuk aku meluahkan rasa hati di samping dapat memotivasikan diri sendiri, juga untuk sahabat-sahabat yang memerlukan motivasi. sama seperti aku Semoga ada manfaat yang dapat dikongsikan bersama.



2:08 AM
fatinamirah
, Posted in



0 Response to "Bersabarlah!"
Post a Comment